MAHASISWA/MAHASISWI KOLEJ FELCRA BERSAMA MASYARAKAT

Seramai 28 orang mahasiswa/mahasiswi Kolej FELCRA dan 9 buah keluarga angkat telah menyertai Program “Desa Wawasan” program anak angkat yang berlansung di penempatan FELCRA Keruak, Terengganu. Program ini telah berlansung selama 3 hari 2 malam iaitu bermula pada 25 November 2016.

Program ini juga merupakan penutup kepada program Desa Wawasan bagi tahun 2016 yang mana sebelum ini program yang sama telah diadakan di 4 lagi penempatan yang berbeza iaitu di FELCRA Lubuk Sireh, FELCRA Lakai, FELCRA Sg. Ara dan FELCRA Tembeling Tengah. Secara keseluruhannya seramai 145 orang pelajar Kolej FELCRA dan 59 keluarga angkat telah terlibat dalam menjayakan program Desa Wawasan bagi tahun ini.

Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk menghubungkan mahasiswa/mahasiswi dalam suasana kemasyarakatan yang mendidik mereka sebagai pemimpin yang holistik pada masa akan datang. Kandungan program yang merangkumi kesemua aspek dari segi sosial, akedemik dan agama memberi satu suntikan kepada pengukuhan serta kemajuan anak Peserta FELCRA Berhad sebagai modal insan yang amat penting untuk diperkukuhkan sebagai teras kepada pembangunan negara.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan untuk memupuk semangat kesukarelaan dalam diri setiap mahasiswa/mahasiswi agar dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada mahasiswa/mahasiswi yang lain.

Kerjasama dan sambutan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung FELCRA Keruak telah memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan penduduk setempat serta dapat belajar cara kehidupan mereka dari segi adat dan budaya.

Majlis penutup bagi program Desa Wawasan di penempatan FELCRA Keruak ini telah di rasmikan oleh Puan Ruzaini binti Abd. Ghani iaitu Pengurus Pembangunan Peserta FELCRA Wilayah Timur. Beliau berharap program ini dapat diteruskan lagi bagi merapatkan hubungan antara mahasiswa/mahasiswi  dengan masyarakat khususnya masyarakat FELCRA. Program ini telah berlangsung dengan jayanya.