PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT KOLEJ FELCRA

Kolej Felcra telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat di Rumah Anak Yatim Darussakinah yang terletak di Chenderong Balai, Perak. Program ini merupakan salah satu aktiviti sosial yang dilaksanakan oleh pihak Kolej Felcra untuk mendedahkan kepada para pelajar akan sifat sayang menyayangi antara masyarakat. Selain itu, program khidmat masyarakat ini juga diadakan untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk menimba ilmu dan belajar untuk bersikap mulia terhadap orang lain serta bertujuan untuk membantu dan mendekati anak- anak yatim bagi meningkatkan prestasi dan pengalaman diri sendiri.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program ini dijalankan. Antara aktiviti yang telah dijalankan semasa program khidmat masyarakat adalah seperti Explorace, bermain futsal, bergotong-royong mengemas kawasan rumah anak-anak yatim serta solat zohor secara berjemaah. Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh pihak Rumah Anak-anak Yatim Darussakinah. Program ini telah diketuai oleh Encik Najmul Kamil Bin Daud iaitu pensyarah Kolej Felcra bersama beberapa orang pelajar. Para pelajar telah didedahkan dengan cara kehidupan anak-anak yatim ini melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini dilaksanakan.

Di dalam program ini juga, Kolej Felcra telah memberi sedikit sumbangan kepada pihak Rumah Anak-anak Yatim Darussakinah untuk meraikan anak-anak yatim ini. Mereka telah diberi beberapa buah hamper sebagai saguhati dalam aktiviti-aktiviti yang telah diwakili oleh mereka. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati anak-anak yatim ini.

Gambar 1               Gambar 2            Gambar 3               Gambar 4                Gambar 5